Friday, August 23, 2013

NAMANYA DUNIA.

NAMANYA DUNIA.




Sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga kami. Suka berkongsi itu dan ini. Abah, Mak, saya dan adik-adik pastinya ada cerita yang tersendiri. Sungguh, bersyukurlah atas anugerah “hari” yang Allah anugerahkan kepada kita. Setiap bilahan hari yang pergi, pastinya ada terselit coretan suka, duka dan pengajaran buat hamba yang bernama insan. Kadangkala kita tidak hanya belajar dengan kisah kita sendiri, malah dengan kisah mereka..

“Kakak, ada seorang budak ni.. Dia frust.. Nak bunuh diri.. Semua cikgu-cikgu tahu tentang dia..” Cerita adik perempuan saya yang pertama.

Tersentap hati saya, walau telinga yang mendengarnya. Tidak salahkan dirinya, si dia yang mahu membunuh diri. Cuma salah cara tindakannya.. 

Manusia, apabila dia tahu dikenakan musibah keatas dirinya.. Pasti ada pahala disisi Allah untuk dia. Maka perasaanya akan reda. Inilah seperkara yang kita perlu tahu. Manusia perlu tahu hakikat kehidupan dunia.

“Dan, demikianlah kami gilir-gilirkan hari-hari itu untuk manusia agar Allah membezakan antara orang-orang yang beriman.”

(Surah Ali-Imran : 140)

Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia. Sebut kata dunia, manusia mesti harungi perjalanannya. Bagaimana baik bahasa kita, tidak memaki hamun orang. Namun ada orang yang memaki kita. Bagaimana baik juga kita jaga kebajikan orang, tidak khianat orang. Namun ada segelintir manusia mengkhianati kita. Demikianlah kehidupan. Supaya manusia tidak berasa panjang selesanya. Saat diri kita diuji, orang yang baik pasti akan berasa, ini tidak selama-lamanya. Dunia ini hanya sementara. Tempat ini hanya tumpangan. Yang kekal di akhirat sana.. Pengakhiran yang pasti.

DOA.

Apa sahaja yang membawa kita kepada dukacita, penawarnya adalah doa. Yakin dan bergantunglah kepada Dia..

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

(Surah Al-Baqarah :186)

Ramai orang berasa dia pandai..

“Emh, benda ni senang ja.. Hang serah semua kat aku. Aku boleh uruskan.”

Kita diajar bagaimana untuk tawakal. Jauh dari sudut hati, bukan kita tidak menghargai teman yang mahu membantu bukan? Kita raikan. Syukur.. Masih punya teman yang prihatin. Cuma, kadangkala kita tidak mahu urus sendiri soal kita. Urusan kita. Selayaknya kita meminta dahulu supaya Allah tolong uruskan diri kita, dengan usaha yang ada..

Ayat ini nabi selalu ulang..




Maksudnya: “Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Menguruskan, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. Perbaikilah semua urusanku dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walaupun sekelip mata.”

(Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)

Bila direnung semula, kadang-kala hidup ini diselit ujian yang berduri. Dan kita mengingatkan diri, serahkan semuanya pada Allah.. Maka bila Allah yang menguruskan kehidupan dan urusan kita, yakinlah, penghujungnya pasti baik. Sebab itu mintalah kepada Allah, supaya Dia yang menguruskan urusan kita. Moga-moga cantik dan tersusun pola hidup kita yang bergelar hamba..

TIDAK PUNYA IJAZAH AGAMA, TIDAK SEMESTINYA TIDAK SOLEH.




Diri kita mungkin tidak ustaz atau ustazah. Ayah kita juga mungkin tidak seorang syeikh. Tapi setiap dari kita, mampu menjadi seorang yang soleh. Saudara kita mampu menjadi seorang yang soleh. Orang soleh tidak hanya pergi belajar dan dapat sjil agama, tapi orang yang soleh adalah manusia yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah. Orang yang soleh adalah yang selalu melafazkan istighfar. Yang selalu berkata, “Yaa Rabb, kasihankanlah dan ampunilah aku..”

Ini juga peringatan buat diri saya, kamu, dan kita semua.. Pernah ada kan? Ketika kita ditimpa kesusahan. Dan kita sering merasakan Allah tidak membantu kita. Padahal sudah berapa banyak bala yang Allah turunkan, namun hari ini kita sudah selamat daripadanya. Sudah berapa banyak sedih semalam yang kita lalui, yang mana saat itu kita merasakan dunia seakan kian gelap dan sangat perit. Tanpa kita sedar, Allah menguruskan kehidupan dan kita mula menikmat kemanisan hidup.. Sungguh, cantik takdir hidup Tuhan buat kita.. :)

Cukuplah berpegang dengan ayat ini,

"Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, cukuplah Allah bagi dia.."

~Wallahu'alam~

Monday, July 29, 2013

SANAH HELWAH INTAN!


Bismillah.

Saya punya seorang sahabat. :) Hampir 10 tahun persahabatan kami. Sejak dialam sekolah menengah lagi. Di Maktab Mahmud Bandar Baharu, Kedah. Saya tak ingat bagaimana persahabatan ini bermula. Tapi saya percaya, yang kami berkenalan kerana ada sesuatu yang menggerakkan rasa, Tuhan dan takdir. Dan kami berkenalan kerana dalam hati ada sesuatu yang bercambah, iaitu ukhwah.

Alhamdulillah, syukur rasa jiwa kerana sampai ke hari ini, kami masih lagi seperti dulu, tetap bersahabat. Berkongsi itu dan ini. Pastinya ini sebuah nikmat. Sebab nikmat yang paling berharga sesudah iman dan kesihatan adalah memiliki sahabat yang soleh dan solehah. ^_^

Lumrah bersaudara, biasalah, ada suka dan ada juga duka.. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan sesama manusia. Dan hari ini, saya terlalu merindui dia. Rindu makan bersama, solat bersama, belajar bersama, menangis bersama, dan semuanya. Dan seperkara lagi, hari ini mungkin hari bahagia untuk dia. Hari kelahiran dia. 

Untuk Intan yang selalu dalam doa saya,


# Semoga Allah mengampunkan segala dosa.
# Semoga Allah memberkati hidupmu.
# Semoga Allah murahkan rezeki.
# Semoga Allah berikan kesihatan yang baik.
# Semoga menjadi anak, isteri dan ibu yang solehah.
# Semoga Allah limpahkan kebahagiaan yang berpanjangan.
# Juga cemerlang dunia dan akhirat.

Harapnya persahabatan kita berkekalan, walau saya sedar tiada apa yang kekal di dunia ini melainkan Allah.

With love, fadhlin sakina. :)

~ Wallahu'alam ~

Sunday, February 10, 2013

PESAN UMMI.



Bismillah..

Assalamualaikum w.b.t..

Syukur alhamdulillah, masih lagi dikurniakan roh dan nyawa pada jasad. Mampu menghirup nikmatnya udara kurniaan Tuhan. Melihat cerianya langit dan awan. Subhanallah. Indah ! Walaupun UIA sunyi dari kebiasaan.

Hari ni berpagi-pagian ke teratak Darul Hadis (belum official lagi) yang terletak di Taman Kamariah. Berdekatan dengan Ong Tai Kim, Gombak. Kami pergi ke sana dari UIA hanya berempat. Saya, Syakirah, Kak Farah dan Kak Syamilah. Kata Kak Farah, pergi ke sana untuk tolong kemas-kemas apa yang patut, sebab nanti ada majlis perasmian disana. Sebelum ni Darul Hadis hanya terletak di Kedah sahaja. Sekarang, mula melebarkan sayap di bumi Gombak ini.

UMMI.

Semoga Darul Hadis ini nanti sentiasa maju hendaknya. Allahumma aamiin. Setelah selesai kami menguruskan semua kerja kemas mengemas dan makan tengah hari, Ummi (isteri kepada ustaz Takiyudin. Namanya Puan Rohaya. Tapi beliau lebih selesa menggelarkan dirinya sebagai Ummi.) mengambil posisi untuk berada bersama kami. Kerusi disebelah saya yang kosong ditariknya lalu beliau duduk dalam keadaan sedikit mengah.

Penat mengemas teratak yang besar itu barangkali. Saya cuba mengusik Ummi, “Ummi penat ka? Meh saya urutkan ummi.. Hehe.” Sambil tangan saya mengurut-urut tangan kirinya. Ummi tersenyum lalu ketawa. Entah kenapa, saya rasa bahagia melihat senyuman dan tawa itu. Barangkali, inilah perasaan apabila diri berdekatan dengan orang-orang yang soleh.

Saya mula mengimbas, jika dulu, saya hanya mengenali ulamak-ulamak yang terkemuka sahaja. Tidak pernah saya mengenali dan tahu betapa ramainya susuk tubuh ulamak dari Kedah. Jahilnya saya! Sampai suatu masa, Allah mentakdirkan saya untuk menyertai sebuah pogram di Maktab Mahmud Padang Terap, Kedah (MMPT). Saya antara salah seorang fasilitator disana. Dari situ, saya mula mengenali beberapa nama ulamak Kedah. Itupun setelah saya mendengar beberapa nama ulamak yang meniti dari bibir beberapa orang fasilitator. Saya mula mencari, mencari dan terus mencari kisah mereka.

Antaranya Syeikh Zainul Asri, Tn Guru Haji Salleh dan ramai lagi.


Ini Syeikh Zainul Asri.. :)


Yang kiri, Syeikh Hasan Bangkok. Dan disebelah kanan, Tn Guru Haji Salleh. 

Suami kepada Ummi (Ustaz Takiyudin) sangat akrab dengan ulamak-ulamak ini. Betullah kata pepatah arab yang bunyinya lebih kurang begini,

“Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan merasa tempiasnya wangian itu. Dan jika kita berkawan dengan pembuat besi, tempiasnya percikan besi akan kena kepada kita”.

Buktinya, saya lihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana cara keluarga Ustaz Takiyudin dan Ummi. Hiburan qasidah sangat sinonim dengan anak-anaknya. Berbeza dengan kita yang kadang kala melayan saja dendangan Cinta Muka Buku dan apa-apa saja yang melalaikan jiwa.

“Ummi, macam mana nak menjadi seorang perempuan yang baik?”. Tanya saya sambil memandang wajah ummi.

“Nak jadi perempuan baik.. Buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang..” Balas ummi sambil tersenyum dan ketawa dihujungnya.

Nada ummi seperti berseloroh. Kata-kata Ummi sangat ringkas. Tapi, cukup buat hati saya tersentuh. Ya. Barangkali ada hak pada Tuhanku yang belum selesai.

“Ummi, saya teringin nak jadi macam ummi.. Macam mana ya? Saya teringin nak jadi gadis yang solehah. Ummi bagi la pesanan untuk saya..” Ummi tersenyum. Memang tak lekang senyuman dari bibir mulus itu. Dan ummi berkongsi.

Pernah seorang budak bersekolah agama bertanya kepada seorang murabbinya. Macam mana nak cintakan Allah? Namun pertanyaan itu dibalas, Aaii, selama ni tak cintakan Allah ka?

Saya nampak point yang ummi maksudkan disitu, cintakan Allah dulu. Pasti kita akan menjadi hambaNya yang baik lagi solehah.

Kata ummi, “Sebenarnya tak salah pun dengan persoalan tu.. Jangan kita lihat dia sekolah agama, belajar agama, dia sudah cukup mencintai Tuhan.. Kadang-kadang kita kata kita cintakan Allah.. Tapi hati kita tak dapat merasa.. Hanya sekadar menutur kata.. Soal hati ini, kadang-kadang memakan masa.. Ada orang lebih daripada 30tahun baru benar-benar merasai nikmatnya mencintai Tuhan.. Doa jangan pernah putus..”. Ummi tersenyum lagi.

Saya mengangguk. Entah kenapa saya jadi sebak dan tersentuh. Banyak sungguh kekurangan saya. Tambah ummi lagi..

“Sama la macam kita kata kita cinta Rasulullah.. Dulu ummi pernah tertanya-tanya.. Ish, macam manalah nak cinta Rasul ni.. Dengar la qasidah.. Dengan dengar qasidah la perlahan-lahan hati kita akan lembut.. Dari situ kita mula pupuk hati kita.. Kadang-kala kita rasa, sedihnya tak dapat mimpi rasulullah, orang lain dapat.. Kan? Tapi x pa.. Doa, doa.. Mana tau, insya Allah rasulullah hadir saat kita nak menghembuskan nafas terakhir..”.

Secara jujur, saat telinga saya mendengar setiap bait-bait nasihat ummi, hati saya seolah-olah disapa angin bayu bahagia. Saat itu Allah detikkan dalam diri, untuk memperbaiki apa yang kurang. Biarlah orang menilai kita atas dasar apa. Yang penting usaha kita ke arah yang lebih baik itu ada..

Pesan ummi lagi, serahkan hidup kita kepada Allah.. Apa sahaja yang menimpa kita, pastinya kita boleh terima apa saja takdirNya.. Sungguh hari ni saya benar-benar bahagia. Terima kasih ya Allah, atas nikmat perasaan ini. Sebelum pulang, sempat saya minta ummi doakan supaya saya juga seperti dia. Kawan-kawan please, tolong juga doakan saya semoga menjadi gadis yang baik ya. :) Insya Allah, doa saya buat kalian juga. :)

Sekian, Wallahu’alam.. :)

Saturday, February 9, 2013

BAHAGIA DAN SENYUMLAH !


Bismillah.

Berbahagialah hari ini. Berbahagialah untuk setiap kebahagiaan yang kita rasakan di hati. Tak perlu kita ukur dengan besar atau kecilnya nilai bahagia itu. Berbahagialah walau sekadar berwajah ceria dan sepatah kata dan salam.

Tetaplah berbahagia dan tersenyum dalam rangka mensyukuri segala anugerahNya hari ini. Tetaplah berbahagia dan tersenyum seperti mentari yang tidak menunda kehadirannya meskipun mendung menyelimuti indah sinarnya hari ini.

Senyum, senyum dan senyum! ^_^



Sunday, February 3, 2013

SETIAP YANG DIATUR, PASTINYA BERHIKMAH.



Bismillah.

Alhamdulillah.. Selamat sampai di bumi Kuala Lumpur dengan selamat. Sayu hati meninggalkan rumah. Esok bermulanya sem kedua tahun kedua saya di kampus.

Cuaca mendung sepanjang perjalanan di dalam bas menuju ke KL Sentral. Saya merenung alam yang dikurniakan Tuhan. Cuba mentadabbur alam. Memandang hikmah apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi.

Banyak betul daun kering berguguran ditepi jalan. Terus terlintas dibenak fikiran saya yang cetek. Daun yang kering itu takkan bisa gugur dengan izinNya. Sedarlah saya bahawa kita berada dibawah kekuasaan dan pentadbiran yang Maha Esa. Begitulah kehidupan kita. Kadangkala Allah takdirkan kita untuk melewati sebuah episode kehidupan yang kita sendiri tidak selesa. Dan kita melaluinya dalam keadaan sedar dan tidak sedar. Antara yakin dan tidak yakin. Antara bersedia dan tidak bersedia.

Jangan mengeluh atas apa yang dilalui wahai diri. :) Ini maknanya Allah mahu kita lebih dewasa dalam hidup ini. Ketika kita ditimpa sesuatu yang sulit, bererti Allah ingin agar kita dekat kepadaNya. Ketika kita ditimpa kesusahan, bererti Allah telah menyediakan untuk kita kemudahan.

Kerana sesungguhnya disebalik permasalahan ada proses pendewasaan, disebalik musibah ada hikmah, disebalik kesusahan ada kemudahan.

“Jalan yang lurus dan rata takkan pernah menghasilkan pemandu yang hebat. Laut yang tenang takkan pernah menghasilkan pelaut yang cekap. Langit yang cerah takkan pernah menghasilkan juruterbang yang handal.”

Rencana Allah, tak siapa tahu. Tak siapa duga. Pandanglah setiap sudut dengan hikmah. Cepat atau lambat, hikmah itu pasti tersingkap ! Senyum! :)

Wallahua’lam~

Monday, January 14, 2013

MEMBACA SUMBER HIKMAH.


Bismillah.

Alhamdulillah. Selesai sudah meniti hari-hari sem pertama tahun kedua. Sekarang dah mula cuti. Jom kawan2, kita manfaatkan cuti. Memaknakan hari-hari. ^_^

Sediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah. :)


# Jom memanfaatkan masa cuti yang ada. Not every reader is a leader, but every leader must be a reader # :)




Menyelusuri sejarah serikandi hebat, Zainab Al-Ghazali. ;)


Wallahu'alam. :)

Tuesday, December 11, 2012

NIKMAT TUHAN KAMU YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?


Hari ini, malam sunyi tanpa bintang, suram, tanpa cahaya sang rembulan. Rahmat Tuhan bakal turun mungkin. :)

Suatu senja.

Mata tertancap pada satu jasad yang kurang upaya. Dia tersenyum. Manis sekali. Jalannya dipimpin oleh seorang pemuda. Barangkali abang atau adiknya. Mungkin juga suaminya. Dia mengambil posisi yang selesa diruangan luar masjid.

“Are you okay sister?”. Saya tanya dalam keadaan sedikit berbisik.

“Yea, im okay.. But, I just need some help from u.. Can u sister?” Balasnya sambil tersenyum.

“Sure”.

Saya hulurkan tangan pada dia. Dia sambut dan meraih bahu saya. Satu persatu anak tangga masjid kami jejak. Akhirnya, masuk juga ke ruangan masjid. Alhamdulillah, syukur, ada satu kerusi di dalam masjid. Dia cuba untuk menyelesaikan tanggungjawab kepada Tuhannya. Solat maghrib. Sempat dia berpesan, supaya jangan kemana-mana dan tunggu dia selesai bersolat. Saya hanya mengiakan dan tersenyum.

Lubna.

Usai dia solat dan berdoa, saya memulakan bicara.

“Sister, u are so sweet. What’s ur name? And where u comes from?” Tanya saya dengan teruja. Walaupun takdalah mahir sangat berbahasa Inggeris. Saya bedal saja.

“Ohh, my name is Lubna. I came from German.. And u? What’s ur name? Actually I stay here for 3 days. Today I came here to hear one speech from Syeikh . . . . . . .” Kata Lubna sambil bersandar dikerusi.

Saya hanya memerhati percakapan dan gerak geri Lubna. Cara duduknya berbeza berbanding kita yang normal. Jari jemarinya yang mulus sedikit bengkok, seperti ‘tarik’ sedikit. Akal sempit saya berfikir. Bersyukurlah atas semua nikmat hari ini. Kerana Allah masih mengurniakan nikmat dua pasang kaki. Yang masih boleh berjalan dan berlari. Maafkan hamba ya Allah, sekiranya pernah mengeluh atas setiap nikmatMu..

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Sama-sama kita renung dan fikir, Allah mudahkan kita berjalan dengan kemudahan kaki yang Allah berikan kepada kita. Bayangkan sekiranya lutut kita sakit atau lumpuh, barulah kita dapat rasai nikmat kaki yang sempurna. Tetapi apa yang berlaku, kita tidak gunakan untuk menambah kebaikan kita seperti berjalan untuk menghadiri ke majlis ilmu, tolong orang melintasi jalan dan sebagainya.

Fikirkan juga nikmat tidur dan makan yang Allah kurniakan buat kita. Lihatlah saja insan disekeliling kita. Ramai manusia yang tak dapat makan kerana sakit dan terpaksa menggunakan tiub dan sebagainya. Di Palestine apatah lagi. Saban hari letupan bom menjadi hidangan mereka. Allahu, bersyukurlah!

Tatap dan hayatilah ayat ini,

“Maka Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Yang Kamu Dustakan?”
[Surah Ar-Rahman : 13]

Akhir kalam, sama-samalah kita rebut, lima perkara sebelum datang lima perkara.

1. Sihat sebelum sakit.
2. Muda sebelum tua.
3. Kaya sebelum miskin.
4. Masa lapang sebelum tibanya waktu sempit.
5. Hidup sebelum mati.


Lubna manis bertudung oren. :)

 

Fully Design By IZZA SAKURA | For FADHLIN SAKINA 2013 ©| Best View: Google Chrome