Friday, August 23, 2013

NAMANYA DUNIA.

NAMANYA DUNIA.




Sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga kami. Suka berkongsi itu dan ini. Abah, Mak, saya dan adik-adik pastinya ada cerita yang tersendiri. Sungguh, bersyukurlah atas anugerah “hari” yang Allah anugerahkan kepada kita. Setiap bilahan hari yang pergi, pastinya ada terselit coretan suka, duka dan pengajaran buat hamba yang bernama insan. Kadangkala kita tidak hanya belajar dengan kisah kita sendiri, malah dengan kisah mereka..

“Kakak, ada seorang budak ni.. Dia frust.. Nak bunuh diri.. Semua cikgu-cikgu tahu tentang dia..” Cerita adik perempuan saya yang pertama.

Tersentap hati saya, walau telinga yang mendengarnya. Tidak salahkan dirinya, si dia yang mahu membunuh diri. Cuma salah cara tindakannya.. 

Manusia, apabila dia tahu dikenakan musibah keatas dirinya.. Pasti ada pahala disisi Allah untuk dia. Maka perasaanya akan reda. Inilah seperkara yang kita perlu tahu. Manusia perlu tahu hakikat kehidupan dunia.

“Dan, demikianlah kami gilir-gilirkan hari-hari itu untuk manusia agar Allah membezakan antara orang-orang yang beriman.”

(Surah Ali-Imran : 140)

Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia. Sebut kata dunia, manusia mesti harungi perjalanannya. Bagaimana baik bahasa kita, tidak memaki hamun orang. Namun ada orang yang memaki kita. Bagaimana baik juga kita jaga kebajikan orang, tidak khianat orang. Namun ada segelintir manusia mengkhianati kita. Demikianlah kehidupan. Supaya manusia tidak berasa panjang selesanya. Saat diri kita diuji, orang yang baik pasti akan berasa, ini tidak selama-lamanya. Dunia ini hanya sementara. Tempat ini hanya tumpangan. Yang kekal di akhirat sana.. Pengakhiran yang pasti.

DOA.

Apa sahaja yang membawa kita kepada dukacita, penawarnya adalah doa. Yakin dan bergantunglah kepada Dia..

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."

(Surah Al-Baqarah :186)

Ramai orang berasa dia pandai..

“Emh, benda ni senang ja.. Hang serah semua kat aku. Aku boleh uruskan.”

Kita diajar bagaimana untuk tawakal. Jauh dari sudut hati, bukan kita tidak menghargai teman yang mahu membantu bukan? Kita raikan. Syukur.. Masih punya teman yang prihatin. Cuma, kadangkala kita tidak mahu urus sendiri soal kita. Urusan kita. Selayaknya kita meminta dahulu supaya Allah tolong uruskan diri kita, dengan usaha yang ada..

Ayat ini nabi selalu ulang..




Maksudnya: “Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Menguruskan, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. Perbaikilah semua urusanku dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walaupun sekelip mata.”

(Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)

Bila direnung semula, kadang-kala hidup ini diselit ujian yang berduri. Dan kita mengingatkan diri, serahkan semuanya pada Allah.. Maka bila Allah yang menguruskan kehidupan dan urusan kita, yakinlah, penghujungnya pasti baik. Sebab itu mintalah kepada Allah, supaya Dia yang menguruskan urusan kita. Moga-moga cantik dan tersusun pola hidup kita yang bergelar hamba..

TIDAK PUNYA IJAZAH AGAMA, TIDAK SEMESTINYA TIDAK SOLEH.




Diri kita mungkin tidak ustaz atau ustazah. Ayah kita juga mungkin tidak seorang syeikh. Tapi setiap dari kita, mampu menjadi seorang yang soleh. Saudara kita mampu menjadi seorang yang soleh. Orang soleh tidak hanya pergi belajar dan dapat sjil agama, tapi orang yang soleh adalah manusia yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah. Orang yang soleh adalah yang selalu melafazkan istighfar. Yang selalu berkata, “Yaa Rabb, kasihankanlah dan ampunilah aku..”

Ini juga peringatan buat diri saya, kamu, dan kita semua.. Pernah ada kan? Ketika kita ditimpa kesusahan. Dan kita sering merasakan Allah tidak membantu kita. Padahal sudah berapa banyak bala yang Allah turunkan, namun hari ini kita sudah selamat daripadanya. Sudah berapa banyak sedih semalam yang kita lalui, yang mana saat itu kita merasakan dunia seakan kian gelap dan sangat perit. Tanpa kita sedar, Allah menguruskan kehidupan dan kita mula menikmat kemanisan hidup.. Sungguh, cantik takdir hidup Tuhan buat kita.. :)

Cukuplah berpegang dengan ayat ini,

"Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, cukuplah Allah bagi dia.."

~Wallahu'alam~

Monday, July 29, 2013

SANAH HELWAH INTAN!


Bismillah.

Saya punya seorang sahabat. :) Hampir 10 tahun persahabatan kami. Sejak dialam sekolah menengah lagi. Di Maktab Mahmud Bandar Baharu, Kedah. Saya tak ingat bagaimana persahabatan ini bermula. Tapi saya percaya, yang kami berkenalan kerana ada sesuatu yang menggerakkan rasa, Tuhan dan takdir. Dan kami berkenalan kerana dalam hati ada sesuatu yang bercambah, iaitu ukhwah.

Alhamdulillah, syukur rasa jiwa kerana sampai ke hari ini, kami masih lagi seperti dulu, tetap bersahabat. Berkongsi itu dan ini. Pastinya ini sebuah nikmat. Sebab nikmat yang paling berharga sesudah iman dan kesihatan adalah memiliki sahabat yang soleh dan solehah. ^_^

Lumrah bersaudara, biasalah, ada suka dan ada juga duka.. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan sesama manusia. Dan hari ini, saya terlalu merindui dia. Rindu makan bersama, solat bersama, belajar bersama, menangis bersama, dan semuanya. Dan seperkara lagi, hari ini mungkin hari bahagia untuk dia. Hari kelahiran dia. 

Untuk Intan yang selalu dalam doa saya,


# Semoga Allah mengampunkan segala dosa.
# Semoga Allah memberkati hidupmu.
# Semoga Allah murahkan rezeki.
# Semoga Allah berikan kesihatan yang baik.
# Semoga menjadi anak, isteri dan ibu yang solehah.
# Semoga Allah limpahkan kebahagiaan yang berpanjangan.
# Juga cemerlang dunia dan akhirat.

Harapnya persahabatan kita berkekalan, walau saya sedar tiada apa yang kekal di dunia ini melainkan Allah.

With love, fadhlin sakina. :)

~ Wallahu'alam ~

Sunday, February 10, 2013

PESAN UMMI.



Bismillah..

Assalamualaikum w.b.t..

Syukur alhamdulillah, masih lagi dikurniakan roh dan nyawa pada jasad. Mampu menghirup nikmatnya udara kurniaan Tuhan. Melihat cerianya langit dan awan. Subhanallah. Indah ! Walaupun UIA sunyi dari kebiasaan.

Hari ni berpagi-pagian ke teratak Darul Hadis (belum official lagi) yang terletak di Taman Kamariah. Berdekatan dengan Ong Tai Kim, Gombak. Kami pergi ke sana dari UIA hanya berempat. Saya, Syakirah, Kak Farah dan Kak Syamilah. Kata Kak Farah, pergi ke sana untuk tolong kemas-kemas apa yang patut, sebab nanti ada majlis perasmian disana. Sebelum ni Darul Hadis hanya terletak di Kedah sahaja. Sekarang, mula melebarkan sayap di bumi Gombak ini.

UMMI.

Semoga Darul Hadis ini nanti sentiasa maju hendaknya. Allahumma aamiin. Setelah selesai kami menguruskan semua kerja kemas mengemas dan makan tengah hari, Ummi (isteri kepada ustaz Takiyudin. Namanya Puan Rohaya. Tapi beliau lebih selesa menggelarkan dirinya sebagai Ummi.) mengambil posisi untuk berada bersama kami. Kerusi disebelah saya yang kosong ditariknya lalu beliau duduk dalam keadaan sedikit mengah.

Penat mengemas teratak yang besar itu barangkali. Saya cuba mengusik Ummi, “Ummi penat ka? Meh saya urutkan ummi.. Hehe.” Sambil tangan saya mengurut-urut tangan kirinya. Ummi tersenyum lalu ketawa. Entah kenapa, saya rasa bahagia melihat senyuman dan tawa itu. Barangkali, inilah perasaan apabila diri berdekatan dengan orang-orang yang soleh.

Saya mula mengimbas, jika dulu, saya hanya mengenali ulamak-ulamak yang terkemuka sahaja. Tidak pernah saya mengenali dan tahu betapa ramainya susuk tubuh ulamak dari Kedah. Jahilnya saya! Sampai suatu masa, Allah mentakdirkan saya untuk menyertai sebuah pogram di Maktab Mahmud Padang Terap, Kedah (MMPT). Saya antara salah seorang fasilitator disana. Dari situ, saya mula mengenali beberapa nama ulamak Kedah. Itupun setelah saya mendengar beberapa nama ulamak yang meniti dari bibir beberapa orang fasilitator. Saya mula mencari, mencari dan terus mencari kisah mereka.

Antaranya Syeikh Zainul Asri, Tn Guru Haji Salleh dan ramai lagi.


Ini Syeikh Zainul Asri.. :)


Yang kiri, Syeikh Hasan Bangkok. Dan disebelah kanan, Tn Guru Haji Salleh. 

Suami kepada Ummi (Ustaz Takiyudin) sangat akrab dengan ulamak-ulamak ini. Betullah kata pepatah arab yang bunyinya lebih kurang begini,

“Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan merasa tempiasnya wangian itu. Dan jika kita berkawan dengan pembuat besi, tempiasnya percikan besi akan kena kepada kita”.

Buktinya, saya lihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana cara keluarga Ustaz Takiyudin dan Ummi. Hiburan qasidah sangat sinonim dengan anak-anaknya. Berbeza dengan kita yang kadang kala melayan saja dendangan Cinta Muka Buku dan apa-apa saja yang melalaikan jiwa.

“Ummi, macam mana nak menjadi seorang perempuan yang baik?”. Tanya saya sambil memandang wajah ummi.

“Nak jadi perempuan baik.. Buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang..” Balas ummi sambil tersenyum dan ketawa dihujungnya.

Nada ummi seperti berseloroh. Kata-kata Ummi sangat ringkas. Tapi, cukup buat hati saya tersentuh. Ya. Barangkali ada hak pada Tuhanku yang belum selesai.

“Ummi, saya teringin nak jadi macam ummi.. Macam mana ya? Saya teringin nak jadi gadis yang solehah. Ummi bagi la pesanan untuk saya..” Ummi tersenyum. Memang tak lekang senyuman dari bibir mulus itu. Dan ummi berkongsi.

Pernah seorang budak bersekolah agama bertanya kepada seorang murabbinya. Macam mana nak cintakan Allah? Namun pertanyaan itu dibalas, Aaii, selama ni tak cintakan Allah ka?

Saya nampak point yang ummi maksudkan disitu, cintakan Allah dulu. Pasti kita akan menjadi hambaNya yang baik lagi solehah.

Kata ummi, “Sebenarnya tak salah pun dengan persoalan tu.. Jangan kita lihat dia sekolah agama, belajar agama, dia sudah cukup mencintai Tuhan.. Kadang-kadang kita kata kita cintakan Allah.. Tapi hati kita tak dapat merasa.. Hanya sekadar menutur kata.. Soal hati ini, kadang-kadang memakan masa.. Ada orang lebih daripada 30tahun baru benar-benar merasai nikmatnya mencintai Tuhan.. Doa jangan pernah putus..”. Ummi tersenyum lagi.

Saya mengangguk. Entah kenapa saya jadi sebak dan tersentuh. Banyak sungguh kekurangan saya. Tambah ummi lagi..

“Sama la macam kita kata kita cinta Rasulullah.. Dulu ummi pernah tertanya-tanya.. Ish, macam manalah nak cinta Rasul ni.. Dengar la qasidah.. Dengan dengar qasidah la perlahan-lahan hati kita akan lembut.. Dari situ kita mula pupuk hati kita.. Kadang-kala kita rasa, sedihnya tak dapat mimpi rasulullah, orang lain dapat.. Kan? Tapi x pa.. Doa, doa.. Mana tau, insya Allah rasulullah hadir saat kita nak menghembuskan nafas terakhir..”.

Secara jujur, saat telinga saya mendengar setiap bait-bait nasihat ummi, hati saya seolah-olah disapa angin bayu bahagia. Saat itu Allah detikkan dalam diri, untuk memperbaiki apa yang kurang. Biarlah orang menilai kita atas dasar apa. Yang penting usaha kita ke arah yang lebih baik itu ada..

Pesan ummi lagi, serahkan hidup kita kepada Allah.. Apa sahaja yang menimpa kita, pastinya kita boleh terima apa saja takdirNya.. Sungguh hari ni saya benar-benar bahagia. Terima kasih ya Allah, atas nikmat perasaan ini. Sebelum pulang, sempat saya minta ummi doakan supaya saya juga seperti dia. Kawan-kawan please, tolong juga doakan saya semoga menjadi gadis yang baik ya. :) Insya Allah, doa saya buat kalian juga. :)

Sekian, Wallahu’alam.. :)

Saturday, February 9, 2013

BAHAGIA DAN SENYUMLAH !


Bismillah.

Berbahagialah hari ini. Berbahagialah untuk setiap kebahagiaan yang kita rasakan di hati. Tak perlu kita ukur dengan besar atau kecilnya nilai bahagia itu. Berbahagialah walau sekadar berwajah ceria dan sepatah kata dan salam.

Tetaplah berbahagia dan tersenyum dalam rangka mensyukuri segala anugerahNya hari ini. Tetaplah berbahagia dan tersenyum seperti mentari yang tidak menunda kehadirannya meskipun mendung menyelimuti indah sinarnya hari ini.

Senyum, senyum dan senyum! ^_^



Sunday, February 3, 2013

SETIAP YANG DIATUR, PASTINYA BERHIKMAH.



Bismillah.

Alhamdulillah.. Selamat sampai di bumi Kuala Lumpur dengan selamat. Sayu hati meninggalkan rumah. Esok bermulanya sem kedua tahun kedua saya di kampus.

Cuaca mendung sepanjang perjalanan di dalam bas menuju ke KL Sentral. Saya merenung alam yang dikurniakan Tuhan. Cuba mentadabbur alam. Memandang hikmah apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi.

Banyak betul daun kering berguguran ditepi jalan. Terus terlintas dibenak fikiran saya yang cetek. Daun yang kering itu takkan bisa gugur dengan izinNya. Sedarlah saya bahawa kita berada dibawah kekuasaan dan pentadbiran yang Maha Esa. Begitulah kehidupan kita. Kadangkala Allah takdirkan kita untuk melewati sebuah episode kehidupan yang kita sendiri tidak selesa. Dan kita melaluinya dalam keadaan sedar dan tidak sedar. Antara yakin dan tidak yakin. Antara bersedia dan tidak bersedia.

Jangan mengeluh atas apa yang dilalui wahai diri. :) Ini maknanya Allah mahu kita lebih dewasa dalam hidup ini. Ketika kita ditimpa sesuatu yang sulit, bererti Allah ingin agar kita dekat kepadaNya. Ketika kita ditimpa kesusahan, bererti Allah telah menyediakan untuk kita kemudahan.

Kerana sesungguhnya disebalik permasalahan ada proses pendewasaan, disebalik musibah ada hikmah, disebalik kesusahan ada kemudahan.

“Jalan yang lurus dan rata takkan pernah menghasilkan pemandu yang hebat. Laut yang tenang takkan pernah menghasilkan pelaut yang cekap. Langit yang cerah takkan pernah menghasilkan juruterbang yang handal.”

Rencana Allah, tak siapa tahu. Tak siapa duga. Pandanglah setiap sudut dengan hikmah. Cepat atau lambat, hikmah itu pasti tersingkap ! Senyum! :)

Wallahua’lam~

Monday, January 14, 2013

MEMBACA SUMBER HIKMAH.


Bismillah.

Alhamdulillah. Selesai sudah meniti hari-hari sem pertama tahun kedua. Sekarang dah mula cuti. Jom kawan2, kita manfaatkan cuti. Memaknakan hari-hari. ^_^

Sediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah. :)


# Jom memanfaatkan masa cuti yang ada. Not every reader is a leader, but every leader must be a reader # :)




Menyelusuri sejarah serikandi hebat, Zainab Al-Ghazali. ;)


Wallahu'alam. :)

Tuesday, December 11, 2012

NIKMAT TUHAN KAMU YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?


Hari ini, malam sunyi tanpa bintang, suram, tanpa cahaya sang rembulan. Rahmat Tuhan bakal turun mungkin. :)

Suatu senja.

Mata tertancap pada satu jasad yang kurang upaya. Dia tersenyum. Manis sekali. Jalannya dipimpin oleh seorang pemuda. Barangkali abang atau adiknya. Mungkin juga suaminya. Dia mengambil posisi yang selesa diruangan luar masjid.

“Are you okay sister?”. Saya tanya dalam keadaan sedikit berbisik.

“Yea, im okay.. But, I just need some help from u.. Can u sister?” Balasnya sambil tersenyum.

“Sure”.

Saya hulurkan tangan pada dia. Dia sambut dan meraih bahu saya. Satu persatu anak tangga masjid kami jejak. Akhirnya, masuk juga ke ruangan masjid. Alhamdulillah, syukur, ada satu kerusi di dalam masjid. Dia cuba untuk menyelesaikan tanggungjawab kepada Tuhannya. Solat maghrib. Sempat dia berpesan, supaya jangan kemana-mana dan tunggu dia selesai bersolat. Saya hanya mengiakan dan tersenyum.

Lubna.

Usai dia solat dan berdoa, saya memulakan bicara.

“Sister, u are so sweet. What’s ur name? And where u comes from?” Tanya saya dengan teruja. Walaupun takdalah mahir sangat berbahasa Inggeris. Saya bedal saja.

“Ohh, my name is Lubna. I came from German.. And u? What’s ur name? Actually I stay here for 3 days. Today I came here to hear one speech from Syeikh . . . . . . .” Kata Lubna sambil bersandar dikerusi.

Saya hanya memerhati percakapan dan gerak geri Lubna. Cara duduknya berbeza berbanding kita yang normal. Jari jemarinya yang mulus sedikit bengkok, seperti ‘tarik’ sedikit. Akal sempit saya berfikir. Bersyukurlah atas semua nikmat hari ini. Kerana Allah masih mengurniakan nikmat dua pasang kaki. Yang masih boleh berjalan dan berlari. Maafkan hamba ya Allah, sekiranya pernah mengeluh atas setiap nikmatMu..

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Sama-sama kita renung dan fikir, Allah mudahkan kita berjalan dengan kemudahan kaki yang Allah berikan kepada kita. Bayangkan sekiranya lutut kita sakit atau lumpuh, barulah kita dapat rasai nikmat kaki yang sempurna. Tetapi apa yang berlaku, kita tidak gunakan untuk menambah kebaikan kita seperti berjalan untuk menghadiri ke majlis ilmu, tolong orang melintasi jalan dan sebagainya.

Fikirkan juga nikmat tidur dan makan yang Allah kurniakan buat kita. Lihatlah saja insan disekeliling kita. Ramai manusia yang tak dapat makan kerana sakit dan terpaksa menggunakan tiub dan sebagainya. Di Palestine apatah lagi. Saban hari letupan bom menjadi hidangan mereka. Allahu, bersyukurlah!

Tatap dan hayatilah ayat ini,

“Maka Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Yang Kamu Dustakan?”
[Surah Ar-Rahman : 13]

Akhir kalam, sama-samalah kita rebut, lima perkara sebelum datang lima perkara.

1. Sihat sebelum sakit.
2. Muda sebelum tua.
3. Kaya sebelum miskin.
4. Masa lapang sebelum tibanya waktu sempit.
5. Hidup sebelum mati.


Lubna manis bertudung oren. :)

Friday, August 17, 2012

SIAPA TAK MENYAYANGI, DIA TAKKAN DISAYANGI. :)

Bismillah.

Hampir setengah tahun saya tak update, post dan sewaktu dengannya kat blog saya ni. Nak kata busy sangat tu, tak jugak.. Mungkin mood nak menulis tu tak mai kot ? :)

Alhamdulillah, bulan ramadhan tahun ni saya berpeluang join satu program. Yang namanya Jalinan Kasih Ramadhan. Sungguh terkesan sampai hari ni nak habaq kat hampa.. (^_^) Berkasih dengan sapa sebenaqnya ni? Berkasih bersama anak-anak yatim Al-Nasuha.. 

Kedatangan kami disambut dengan wajah ceria adik-adik yatim Al-Nasuha. Dengan melihat wajah depa yang tenang lagi bahagia, kami juga turut tenang dan bahagia. Masuk ja dalam rumah depa, kami ternampak 2orang baby yang terbaring atas tilam sederhana kecil. Wahh, comelnyaa ! Sorang baby boy, sorang lagi baby girl. Yang lelaki namanya Adam Rizqi. Yang perempuan namanya Syakirah Sukarno..


Ni lah adik Syakirah Sukarno. :)


Ini pulak, Adam Rizqi. :)

Sungguh, saya perasan satu perkara. Adik-adik disini sangat manja dan sukakan perhatian. Suka duduk atas riba.. Suka diusap.. Suka dilayan.. Suka didukung.. Suka disuapkan makanan.. Suka semuanya yang berbentuk kasih sayang.. Sebab apa saya kata macam tu? Sebabnya kami datang bersama dengan barang-barang sumbangan untuk mereka, namun yang diraih bukan material itu, tapi pergelangan tangan kami yang diraih mereka. Kasih saya mula tumpah untuk adik-adik ini.. :)


Solat itu mendamaikan jiwa.. :)


Tenang kan? Tengok wajah-wajah suci ini. ^_^

Paling saya tersentuh, apabila sesi mendalami jiwa adik-adik ini pada sebelah malamnya. Kami cuba berkongsi apa sahaja yang dirasa. Pada saat ini, saya tadahkan telinga untuk mendengar impian dan cita-cita mereka. Bukan mereka impikan untuk menjadi seorang insan terkaya didunia. Bukan juga untuk menjadi seorang yang popular dimata semua. Tapi apa yang diimpikan mereka adalah kasih ibu dan ayah tercinta. Ada yang dibenci oleh ayah tiri, ada yang tak disayangi oleh ibu sendiri..

Saya juga turut termuhasabah. Mengalir air mata. Bertuahnya saya masih mempunyai seorang ibu yang menyayangi dan mendoakan kehidupan saya. Yang masih boleh berkongsi segala ceritera. Bertuahnya saya, kerana masih mempunyai seorang ayah yang hebat. Yang sentiasa menutup segala pahit jerih mencari rezeki buat kami. Yang sentiasa memberi motivasi, “Tahniah, puasa penuh hari ni.. Untung abah dapat anak solehah..” Walaupun saya tahu, saya tidaklah sesolehah mana. Tapi kata-kata itu mampu membuatkan diri saya berusaha ke arah itu. Alhamdulillah.

Satu perkara yang kami cuba lakukan bila bersama adik-adik ini, kami akan cuba untuk usap kepala mereka. Besar pahalanya bila kita mengusap kepala anak yatim ini. Daripada Abi Umamah berkata :

“Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim kerana Allah baginya pahala atas setiap helai rambut yang disentuhnya.”

Subhanallah.. Mudah kan, untuk meraih pahala? Hanya dengan usapan mampu membuatkan kita ke gerbang syurga. :)

Apabila sudah hampir selesai program, terasa seperti ukhwah antara kami semakin berbunga. Ada ikatan hati disitu. Kami mula melihat wajah sayu adik-adik. Berat mereka untuk melepaskan kami untuk pulang, berat lagi untuk kaki kami untuk melangkah meninggalkan mereka.

“Akak.. Nanti datang lagi tau..!”

“Akak ambik la saya jadi anak angkat akak..”

“Akak bila nak datang lagi?” 
          
Allah.. Berat bibir untuk menuturkan jawapan.

Saat saat sedang berseronok bersama keluarga untuk menyambut raya, apa perasaan mereka disana ya? Moga-moga kalian berada dibawah rahmatNya adik-adikku! Teringat sebuah kisah di zaman Rasulullah s.a.w..

Pada suatu hari, Nabi hendak ke masjid menunaikan solat hari raya. Tiba-tiga baginda terserempak dengan seorang anak yatim yang sedang menangis. Lalu baginda bertanya, “Kenapa engkau menangis?”. Budak itu menjawab, “Saya tidak mempunyai ayah dan rakan-rakan memakai baju baru tetapi saya keseorangan.”

Kemudian baginda membawa budak itu pulang ke rumah dan bertanya kepadanya, “Mahukah engkau mendapat seorang ayah iaitu Rasulullah s.a.w. dan saudara kamu ialah Fatimah?'' Budak itu seterusnya dimandikan dan diberi pakaian baru..

Sungguh halus peribadi Rasulullah. So, jangan sesekali kita menyakiti anak-anak yatim. Hargailah. Sayangilah mereka.  Sabda rasulullah yang bermaksud barangsiapa yang menyakiti anak yatim maka ia menyakiti aku. Sesungguhnya, siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi. :)

Seharum ukhwah disana.. ^_^


Bersama mencipta kenangan dan ukhwah!


Adik-adikku, insya Allah boleh !! (^_^)


Keceriaanmu adik-adik, membuatkan aku terus thabat.

Thursday, December 1, 2011

SEMBELIH DAN DISEMBELIH.



Siapa pernah diantara kalian yang pernah menyembelih? Atau disembelih? Angkat tangan!=) Tertarik saya semasa belajar dalam kelas FIQH IBADAT tadi. Belajar bab halal dan haram. Rasanya sepanjang sem ini, waktu tadilah yang paling rancak students memberi respon. Tak kira sama ada foreigner atau penduduk bumiputera.(^_^)

4 tahun yang lalu.

Pernah semasa berada di dalam sebuah kelas yang kecil, Ustaz Muz melontarkan
cadangan kepada kami di dalam kelas subjek Pendidikan syariah.

“Nanti kita buat amali untuk buat haji. Yang putera pakai ihram, yang puteri pakai telekung. Kita tawaf dekat depan tu (tapak perhimpunan sekolah).”

Bunyi suara-suara kecil di dalam kelas berbisik sesama jiran semeja dikelas. Ada yang tersengih, ada yang excited dan bagai lagi. Tersenyum mungkin kerana tak sabar nak pakai ihram, excited mungkin kerana tak sabar nak pakai telekung dan bertawaf di tengah terik perkarangan sekolah. Lucu pulak bila terbayang masa tu.

Masa ustaz cakap tu, wah terbayang-bayang di otak alangkah bestnya kalau betul-betul dapat berada di depan dinding ka’bah. Sudah mula berangan. Tak sabar-sabar rasanya nak amali walaupun bukan secara realiti.

Tapi, lain yang dirancang, lain pula yang menjadi. Plan yang asal ditukar kepada plan yang kedua. Ustaz merancang untuk membuat sesi penyembelihan secara beramai-ramai. Wah, nak sembelih apalah tu.

Bincang punya bincang. Akhirnya, bertemu kata sepakat. Kami sebulat suara untuk menyembelih ayam. Nak sembelih kambing, besar sangat kot, lembu apatah lagi. Karang jadi kenduri lah pulak di MMBB.(^_^)

Dan apabila tiba hari amali yang ditunggu-tunggu. Semua diantara kami duduk bersama rakan partner masing-masing. Yang putera sesama putera dan yang puteri sesama puteri. Menunggu giliran untuk menyembelih ayam masing-masing.

Nampak dari raut wajah budak putera dengan lagak gentlenya memegang ayam yang hidup-hidup ditangan mereka. Budak-budak puteri pulak, ada yang berselawat, ada yang zikir tak henti-henti, ada yang menangis kerana tak sampai hati nak sembelih ayam tu, dan ada yang.. Erm, macam-macamlah. Tersenyum sendiri saya apabila mengimbas suasana itu.

Dan sebelumnya tiba giliran saya dan rakan partner (intan), awal-awal lagi kami plan.

“Ok, intan sembelih ayam, kinah pegang kaki ayam tu. Pegang kuat-kuat tau! Jangan lepas.”

Wah, bukan main semangat lagi sahabat saya berpesan.

“Ok set! Boleh2.. Nanti bagi betul-betul putus urat mareh tu tau. Satgi rugi ayam kita, kalau tak, tak boleh makan. Hehe.” Balas saya.

“Takpa.. Jangan risau.”

Kami menunggu dan terus menunggu amali kami. Sementara tu, semua budak puteri tengok cara sembelihan yang dibuat oleh budak putera. Ada yang selamat disembelih dengan jayanya. Ada yang terputus terus kepalanya semasa disembelih. Ini perkara yang paling saya dan kawan-kawan tak boleh lupa. Lawak pulak rasanya.(^_^) Adakah pisau itu yang terlalu tajam atau si penyembelih yang terlalu bersemangat? (^_^)

Tup tup, bila tiba betul-betul turn kami untuk sembelih,

“Kinah, kinah lah sembelih. Intan tak jadi. Meh intan pegang kaki ayam.”

“Hah???”

Terpinga seketika saya. Tanpa berkata apa-apa, saya diberi pisau. Nak menolak, ayam dah get ready di tangan sahabat. Nak tak nak, cuba sajalah.

“Lagi kinah, lagi.. Kuat lagi. Bagi kena dekat urat tu.”

Kata Ustaz Muz dan Ustaz Rohaizat.

Entah kenapa pisau yang saya pegang seolah-olah macam turun naik turun naik. Kejap pergi ke urat ayam. Kejam dekat kerongkong ayam. Memang pengalaman yang sangat berharga dalam hidup. Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya sembelih ayam. Dan akhirnya Alhamdulillah, ayam kami selamat disembelih dengan jayanya.(^_^) Lepas ni kalau nak mintak tolong sembelihkan, mai jumpa saya ok! (^_*)

Teetttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttt!

Berhenti dulu.

Mesti ada yang tertanya-tanya kan? Macam mana cara nak sembelih dengan sah? Mai nak kongsi sama-sama2..

1) Mesti disembelih oleh orang Islam.
2) Mesti niat sembelih kerana Allah s.w.t.
3) Mesti terputus urat halkum dan urat mareh.
4) Guna benda tajam kecuali gigi, kuku dan tulang.
5) Binatang yang halal dimakan.
6) Bintang tu still hidup. Kalau dah mati, itu namanya bangkai..=)
7) Mesti mati sekali sembelihan saja.
8) Tujuan sembelih kerana Allah, bukan tujuan lain.
9) Tidak dalam ihram haji atau umrah bagi binatang buruan.

Dan semasa kita melakukan penyembelihan, kita disunatkan…

1) Membaca bismillah semasa nak mula..
2) Menghadapkan binatang tu ke arah kiblat.
3) Berselawat ke atas nabi.
4) Baringkan binatang tu diatas rusuk kirinya.
5) Menggunakan pisau yang tajam supaya kuranglah sikit sakit yang ditanggungnya.
6) Memutuskan urat mareh dikiri dan kanan leher supaya segera mati.
7) Menyembelih dengan segera.
8) Semasa sembelihan tu, hendaklah dilakukan denga cepat.
9) Jangan diputuskan lehernya.
10) Jangan disiat kulitnya sehingga dia telah mati.

Sebolehnya, semasa kita nak menyembelih tu, elakkanlah daripada 3 perkara ni..

1) Asah pisau dihadapan binatang yang kita nak sembelih. Kalau kita pun, mesti kecut perut jugak kan?
2) Menyembelih hingga terputus kepala. Haa.. Ni macam ayam yang pernah terjadi waktu amali.(^_^)
3) Penyembelihan dilakukan oleh seorang perempuan..

Semua perkara diatas, hukumnya adalah makruh..

Ok, lepas ni, cuba-cubalah amalkan yer. Terutamanya kaum muslimin, mesti kena tau ni.. Tapi apa yang saya kongsikan tidaklah sedetail mana.

“Haaaa.. Sapa makan ayam mujahid makruh.”

Ketawa berderai sesama kami.(^_^)

Teringat dialog ni semasa sesi menggoreng ayam setelah usai penyembelihan.(^_^)

Buat Ustaz Muzaffar. Syukran laka atas ilmu amali ini..(^_^)

(Ce teka, sah ke tak sah ayam ni?)
Balik cari jawapan ok.=)

~ Wallahu’alam ~

SEMAKIN JAUH SEMAKIN MENGHIMPIT?


Hidup adalah perjuangan yang tidak akan pernah berakhir. Semakin jauh kaki melangkah, semakin banyak dugaan menghimpit. Hanya dengan ketabahan hati dan kekuatan iman, segala kesulitan mampu dileraikan dan akhirnya sinar damai akan menyimbah hati mereka yang redha menerima ketentuan Ilahi.. Ya Allah, kiranya kami kecewa pada hari ini dengan masalah-masalah yang membebani kami, Engkau kuatkan jiwa kami untuk menghadapinya kerana mungkin esok Engkau telah menyediakan sebuah kebahagian untuk kami sebagai hadiah ketabahan kami pada hari ini.. =)

Sunday, November 27, 2011

FIGHTING!! BBASYA!!


Alhamdulillah, setelah hampir seharian mengadap laptop yang banyak berjasa ini, finally dapat jugak saya menghabiskan 1 task subjek intro to fiqh, atau dalam bahasa arabnya adalah “madkhal ilal fiqh”. Berkatilah ilmu yang ku pelajari ini ya Allah. Dan kekalkanlah ia di dalam hati.

“Sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya itu tidak akan masuk kepada pembuat maksiat.” (Imam Syafi’e)

Lumrah hidup sebagai seorang pelajar, sudah semestinya akan bergelumang dengan assignment, kuiz, presentation, survey, research, exam dan bagai lagi. Tapi ketauhilah (terutamanya saya yang menaip ini) bahawa rahsia kejayaan bukan datang dengan banyaknya membaca. Kerapnya berbincang dan kuatnya ingatan, tetapi kejayaan sebenar datang apabila kita letakkan hundred per cent keyakinan iman kita kepada Allah yang satu. Kerana dialah pemilik ilmu itu. Moga-moga ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan khususnya demi Islam yang kita cintai.. Allahumma Amin.. Entah ada kena mengena atau tak post kali ni dengan tajuk yang atas tu..^_^ Ok, bye2.


~Wallahu'alam~ ^_^

SALAM TAHUN BARU, 1433 HIJRAH!


Dengan nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha penyanyang. Segala pujian itu bagi Allah tuhan sekelian alam. Rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Ya Allah, Engkaulah tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada dan tiada permulaan. Kelebihan-Mu Maha besar dan kemurahan-Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami memohon kepada-Mu peliharalah kami di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya. Dan kami memohon kepada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kea rah kejahatan). Kami memohon juga kepada-Mu ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah tuhan yang Maha agung lagi mulia. Ya Allah ya tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat..

Amin..

Jom sama-sama perbaiki buku amalan kita.^_^ Moga2 tahun baru ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya..

~Wallahu'alam~

Tuesday, November 8, 2011

BENAR-BENAR BERIMANKAH?

Bismillah.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar. Syukur, masih dikurniakan nikmat yang tak terhingga. Nikmat iman, nikmat islam. Nikmat yang tiada galang gantinya. Jika terbang kedua nikmat ini, entah bagaimanalah hidup kita. Mungkin juga kucar-kacir, mungkin juga huru-hara. Ya Allah, tetapkanlah iman dalam hati kami, jangan Kau bolak balikkan hati-hati ini ya Allah. Ameen. Ameen..


Asyhadu an laa ilaaha illallah, wa asyhadu anna Muhammad rasulullah!

(أشهد ان لا إله الا الله وأشهد ان محمد رسول الله)

Maksudnya : Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad pesuruh Allah.

Perasan atau tidak, tadi kita sama-sama telah perbaharui iman. Macam mana pulak iman boleh diperbaharui ni ye? Haa, apabila lidah dan bibir menuturkan syahadah, maka secara automatiknya iman kita telah diperbaharui. Iman manusia, kadang surut, kadang bergelora, maka selalulah diucapkan syahadah. Untuk membersihkan jiwa yang gersang.

Lafaz, tidak semudah amalnya. Tak gitu? Mengucap syahadah memang mudah, tapi sudah terlaksanakah amanahnya atau belum? Iman itu perlu dizahirkan dengan tindakan, bukannya dengan kata-kata atau khayalan. Pernah suatu ketika, Sayyid Qutb mengkritik manusia yang hanya mengucapkan kalimah syahadah, namun tindakannya bertentangan dengan apa yang diperkatakan. Dan pernah juga khalifah kedua Islam, Umar Al-Khattab r.a menumbuk Abu Hurairah r.a sehingga terjatuh. Kerana apa sahabat-sahabat? Kerana gara-gara Abu Hurairah mahu menyebarkan hadis bahawa siapa yang melafazkan kalimah tauhid ini, baginya syurga. Berkata lagi Umar r.a kepada nabi Muhammad s.a.w, “Aku bimbang umatmu tidak akan beramal lagi ya rasulullah.” Kemudian nabi mengiyakan pandangan Umar r.a.

Masha Allah, jelasnya disini. Untuk menggapai syurga abadi itu tidak semudah itu. Cukupkah amalku ini bagi membuktikan bahawa aku ini manusia beriman? Malu rasanya hendak mengaku. Entah layak, entah tidak. Jika kita menyoroti kisah sejarah lampau, tak terbanding, tak setaraf rasanya. Rasa macam kerdilnya diri. Lebih kecik dari semut!

Seperti mana dalam kisah Harith Bin Malik. Allahu rabbi! Jauh lebih hebat bukti keimanan para sahabat. Cerita ringkasnya begini. Harith pernah membuktikan keimanannya kepada nabi Muhammad s.a.w dengan berkata, “ Aku mengelakkan diriku daripada dunia, berhaus-hausan disiang hari, bersengkang mata di malamnya, dan aku seolah-olah melihat arasy Tuhan, seakan-akan aku melihat penghuni syurga yang saling ziarah menziarahi, dan aku melihat penghuni neraka yang meraung-raung”. Kemudian berkata lagi oleh Harith, “ Ayuh! Bergeraklah ke depan!” Sambil beliau menunggang kuda menuju ke tengah-tengah medan perang. Akhirnya, Harith Bin Malik terkorban sebagai syuhada’ yang pertama dalam kalangan penunggang kuda. Subhanallah! See, betapa hebatnya mereka dalam berjuang.

Saya tampilkan kisah kedua. Mengenai seorang pemuda yang berkulit hitam dan miskin. Dia menangguhkan perkahwinannya semata-mata menyahut seruan jihad. Dan akhirnya dia juga terkorban. Hebat tak hebat pemuda ini, betapa ramai bidadari berebut-rebut untuk mendapatkannya. Begitu juga seperti kisah keluarga Yasir dan Sumaiyah. Meskipun mereka orang tua yang sudah berumur, itu tidak bermakna mereka lemah dan tunduk kepada yang salah. Kesengsaraan yang dihadapi keluarga Yasir membuahkan bahagia. Akhirnya merekalah yang menjadi syahid dan syahidah pertama dalam Islam. Subhanallah.

Lagi kisah tentang bukti iman pejuang yang hebat. Iaitu tentang Abdullah Bin Al-Zubair. Pernah ada perasaan gerun hinggap di hati pejuang ini. Semasa berhadapan dengan tentera pimpinan Hajjaj yang ramai, ibunya Asma’ Binti Abu Bakar membentaknya. Asma’ berkata, seorang pejuang hanya layak mati dalam medan perang, bukannya di atas katil. Masha Allah! Begitulah spirit words dari seorang ibu yang hebat.

Berkata Asy-Syahid Al-Banna “ Tidak sama orang yang berkata-kata dengan orang yang beramal. Tidak sama orang yang beramal dengan orang yang berjihad. Tidak sama orang yang berjihad dengan orang yang berjihad secara serius.”

Mood muhasabah. Sudah benar-benar berimankah aku? =_=

Sunday, October 9, 2011

TERDIDIK KERANA SEBIJI TEMBIKAI.

(Gambar hiasan)

Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhi telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya:

"Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?."

Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut. Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:

"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya."

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan diapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

P/s: Sama2 beringat lain kali beli buah or sayur tak elok jangan marah2 kerana secara tak langsung kita sebenarnya memarahkan Pencipta tumbuhan2 tersebut.. Nauzubillah.

~Wallahua'lam~

Friday, October 7, 2011

DIET TERBAIK, DIET RASULULLAH.


(UIA GOMBAK)

“Aduish, dah dok Gombak ni, kuruslah kita.. Gombak kan besar.. Kena banyak jalan..”

“Penatnya jalan.. Hari-hari kita berjalan 2km lebih, tapi tak kurus-kurus jugak.”

Statement inilah yang kadang-kadang saya terdengar oleh beberapa orang sister yang pernah seiring bersama saya dalam perjalanan untuk balik ke Mahallah Ruqayyah. Lebih-lebih lagi sister2 yang first year macam saya ni. Memang tak dinafikan, Mahallah Ruqayyah adalah Mahallah yang paaling belakang. Paling jauh buat masa ni saya kira. Mengalir jugaklah keringat di dahi ini bila sampai dibilik.
Tapi tulah, kenapa erk, walaupun berjalan berkilo2 meter, berat still sama je. Tak turun-turun jugak. Apa kena ni ye? Tak syak lagi semestinya pasti ada kaitan dengan pemakanan kita kan?

Rupa-rupanya sahabat2, dalam pemakanan seharian kita, kita tak boleh main balun saja.. Sebab tulah terjadinya penyakit kencing manis, jantung, lumpuh, keracunan makanan dan lain-lain apabila kita tua nanti. Tau tak, Rasulullah tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana baginda pandai menjaga pemakanannya dalam sehari-hari. Bagi siapa-siapa yang nak kurus tu, apa kata kita try amalkan yang ini? Tak payah susah-susah makan pil kurus, turun naik batu caves 14 kali dan bagai lagi. Insya Allah, kalau kita ikut diet Rasulullah s.a.w ini, penyakit-penyakit yang berkaitan dengan perut pasti kita dapat jauhi. Jom baca cara-caranya.


1) Jangan makan SUSU + DAGING

2) Jangan makan DAGING + IKAN

3) Jangan makan IKAN + SUSU

4) Jangan makan AYAM + SUSU

5) Jangan makan IKAN + TELUR

6) Jangan makan IKAN + DAUN SALAD

7) Jangan makan SUSU + CUKA

8) Jangan makan BUAH + SUSU contohnya KOKTEL

Ok dapat? Lepas ni kita sama2 hafal dan amalkan yer. (^^,)


Selain tu, Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Macam gambar diatas ni.. Begitu juga ahli saintis telah menjumpai bahawa enzyme banyak terkandung di celah jari-jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzyme sejenis alat percerna makanan, tanpanya makanan tidak hadam).


Ok, ni nak cerita tentang buah dan nasik pulak. Katakanlah kalau kita jenis yang apabila makan nasik, mesti ada buah. Kita disyorkan untuk makan buah dulu, baru makan nasik.. And then, jangan tinggal makan malam, mungkin kita boleh ambil dalam sekitar pukul 6.30-7.00 p.m.. Sebab apa? Sebab bagi sesiapa yang tinggal makan malam akan dimakan usia dan kolestrolnya akan berganda.


Yang ni, nak share tentang mandi waktu sebelum subuh atau at least sejam sebelum matahari mula memancarkan cahayanya. Air waktu-waktu gini sure terasa sejuknya kan? Tambah-tambah yang mandi guna air telaga.. Ada lagi ke zaman sekarang ni mandi guna telaga ya? Sekarang ni pakat ramai yang dah mandi guna shower yang macam air hujan tu kata budak-budak.. Mandi waktu gini sangatlah baik sebab air sejuk yang meresap ke dalam badan boleh mengurangkan lemak yang terkumpul. Dan Rasulullah s.a.w juga mengamalkan minum air kosong setiap pagi. Mujarabnya insya Allah akan dijauhkan dari penyakit.

Last but not least, nak share aktiviti masa waktu subuh. Waktu sembahyang subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang-kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelak dari sakit pening atau migrin.. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir keruang berkenaan..


Ok, itu saja untuk entry kali ni. Wallahu'alam..=)

Wednesday, October 5, 2011

AR-RAHEEQ AL-MAKHTUM BERSAMA SENIOR HEBAT UIA

Salam ‘alaik buat yang sudi-sudi datang menjengah ke sini. Kabare antum semua? Harap-harapnya sentiasa berada dibawah rahmat Allah s.w.t. Amin.. Lama tak berjumpa kan? (^^,)

“Kinah, sekarang dah bulan 10. Bila nak update blog? Updatelah.. Tulislah apa-apa pun..”

Teringat pertanyaan sahabat baik saya pada pagi tadi. Betul jugak kata dia, usang sangat blog tu. Dah macam tak bertuan.. Maka pada malam yang sejuk2 begini terasa pula nak berkongsi bersama kamu-kamu semua di laman yang dah hampir bersawang ni. Almaklumlah, hampir sebulan juga tak meng’update’ blog comel ni kan.

Alhamdulillah, petang tadi saya diberi kesempatan untuk mengutip mutiara2 ilmiah daripada seorang senior hebat UIA, Ustaz Syaari & zaujahnya Kak Nurul.. Banyak ilmu yang dikongsi bersama.

Pertamanya tentang buku yang bertajuk “Raheq Makhtum” atau dalam ejaan arabnya (الرحيق المختوم). Pernah tengok kitabnya? Haa, kalau tak pernah, try tengok dibawah ni.


Haa, mesti dah pernah tengok dan baca kan? Buku ni menceritakan tentang sirah nabawiyyah. Rentetan cerita dalam buku ini sangatlah teratur dan sangat mudah difahami. Tertanya-tanya tak? Kenapa kitab ni dinamakan “Raheq Makhtum”? Apa maknanya tu?


Sebenarnya, perkataan “Raheq Makhtum” ni ada tertulis di dalam kitab suci kita, Al-Quran.. Dalam surah Al-Mutaffifin ayat ke 25. Tak percaya? Try bukak tengok. Ada kan? Subhanallah, cantik dan indah bahasa Al-Quran. Bagi sesiapa yang berbuat bakti dalam kehidupannya, pastinya ganjaran Allah untuknya. Begitulah janji Ar-Rahman dalam ayat ini. Mereka yang berlumba-lumba dalam melakukan amal pastinya dapat merasai khamar (arak) yang tidak memabukkan. Manakala penutup botol khamar itu sendiri diperbuat daripada kasturi. Kemudian khamar ini dicampur pula bersama dengan tasnim, yakni mata air yang diminum oleh mereka yang dekat dengan Allah s.w.t.. Subhanallah! Kurniakanlah kepada hamba-Mu ini untuk merasainya walaupun sekali cuma..

Keduanya, Ustaz Syaari menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w bersama isterinya yang pertama Saidatina Khadijah. Sangat tertarik! Satu-satunya isteri rasulullah yang tidak pernah dimadukan.. Hebat sungguh penangan aura ummul mukminin ini. Sehinggakan saat jasad Khadijah tidak lagi disisi pun rasulullah masih menyebut-nyebut namanya.. Dialah pelengkap buat Nabi. Dialah juga mentor dalam perjuangan dakwah yang Nabi lalui. Ada 4 karekter Saidatina Khadijah yang membuatkan Rasulullah s.a.w kagum dengannya.

1) Dia insan pertama yang beriman kepada Nabi s.a.w sebelum insan lain.

2) Dia membenarkan apa yang diperkatakan Nabi s.a.w ketika orang lain mendustakannya.

3) Dia menyalurkan hartanya ke jalan Allah. Beliau sentiasa menghulurkan bantuan buat perjuangan dakwah Nabi s.a.w tanpa rasa keluh kesah.

4) Dia memberikan zuriat buat Nabi s.a.w. Namun bersama isteri-isteri yang lainnya Nabi tidak memperolehi anak..

Terang lagi bersuluh, bila diamati kisah mereka ini, banyak ibrah yang kita akan dapat. Bukannya hanya sekadar sejarah.. Mereka hidup dengan saling melengkapi. Apa kekurangan yang ada pada Nabi s.a.w telah di top up oleh Saidatina Khadijah. Antaranya dari segi kematangan (maturity). Imbas kembali, saat Nabi berkahwin bersama Khadijah, berapakah umur Nabi? 25 tahun. Dan berapa pulakah umur Saidatina Khadijah? 40 tahun. Satu jarak yang agak jauh kan? Dengan kematangan yang ada pada Khadijah lah dapat mendamaikan hati Nabi yang kadangkala dalam resah. Wah, lepas ni mesti ramai yang cari calon isteri yang lebih tua dari usianya kan.^^,

Selain tu, Saidatina Khadijah banyak membantu Nabi dari sudut kewangan (financial). Tak lain dan tak bukan, kita semua sedia maklum. Sebut saja nama Siti Khadijah, apa yang ada dalam kepala kita? Mesti terfikir tentang business kan? Beliau seorang usahawan yang hebat. Dihormati dan disegani lagi. Perniagaannya melebar sehingga ke serata jazirah arab. Bukan senang nak jadi senang orang kata. Mesti ada skill dan strategi. Bakat perniagaan ni tak semua orang ada.. Sebab tulah ada sesetengah orang yang buat MLM tak menjadi..(^^,) Jadi, segala harta milik Khadijah, sentiasa disumbangkan buat Islam.. Kalau tak ada financial, susah untuk kita melebarkan sayap dakwah. Sedangkan masuk ke tandas awam pun kena bayar sekarang ni.. Kan3..

Oklah, setakat ni saja yang nak di story.. Sikit je infonya kan? Tak apalah, asalkan dapat walaupun tak banyak.. Ok, Wallahu’alam..

Wednesday, September 14, 2011

PENYAKIT ORANG BAIK.

Ada satu jenis penyakit, yang hanya dihinggapi oleh orang baik. Orang jahat tidak dapat penyakit ini, kerana penyakit ini hanya untuk si pelaku baik. Penyakit ini amat bahaya, malah menyebabkan hati rosak dan sukar diubati.

Penyakit apakah itu? Hadis ini menerangkan mengenai penyakit untuk orang baik.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid.

Orang itu dihadirkan di hadapan Allah, lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya.

Allah bertanya :

“Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?”

Orang itu menjawab : “Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh.”

Allah berfirman : “Engkau berdusta! Kerana engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani!”

Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah memanggil seseorang yang belajar ilmu, mengajarkannya dan membaca al-Quran. Orang ini dihadirkan, lalu disebut kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya.

Allah lalu bertanya : “Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?”

Dia menjawab : “Aku mempelajari ilmu, lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran.”

Allah berfirman : “Engkau berdusta! Kerana engkau belajar agar disebut alim, dan membaca al-Quran agar disebut qari (hafiz).”

Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah. Orang ini dihadirkan dan disebut-sebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah s.w.t sehingga ia mengingatinya.

Allah lalu bertanya : “Apakah yang engkau telah lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?”

Dia menjawab : “Aku membelanjakannya di tempat-tempat engkau kehendaki.”

Allah berfirman : “Engkau berdusta! Kerana engkau melakukannya agar dikenali sebagai dermawan.”

Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Demikianlah penyakit orang baik, yang orang jahat tidak lakukannya, yakni MEMBANGGAKAN apa jua amal kebaikan yang dilakukan. Dia ingin dikenali, mashyur atas tiket kebaikan yang dilakukan. Inilah yang dipanggil RIAK.

Ali bin Abi Talib pernah berkata : Tanda riak itu 3 perkara,

1- Malas beramal jika sendirian,

2- Rajin beramal jika dalam ramai,

3- Menambah amalan jika dipuji, dan menguranginya bila dicela.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastuti : “Seorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?”

Pujian itu adalah ujian, dan nikmat yang bersyukur kepadaNya.

Bangga dengan HARTA, tak boleh dibawa MATI.
Bangga dengan AMAL, RIAK menguasai DIRI.
Bangga dengan KECANTIKAN diri, ia tak kekal dan akan tua nanti.
Bangga dengan KEJAHATAN, azab sedang menanti pasti.
Bersyukurlah pada ILAHI, sesuatu perkara yang kita tak akan RUGI.

Demikianlah SYUKUR, penghapus segala rasa BONGKAK DIRI..
Berhati-hatilah penyakit ini, yang hanya pada orang BAIK HATI..
Wallahualam..
 

Fully Design By IZZA SAKURA | For FADHLIN SAKINA 2013 ©| Best View: Google Chrome