Tuesday, March 15, 2011

SAKIT HATI, ADA PENAWARNYA..


Ubat selalunya pahit. Rawatannya juga selalunya perit. Tetapi oleh sebab inginkan badan yang sihat, kita rela menelan kepahitan, kita rela menanggung keperitan berpantang

Maka begitulah jalan untuk 'mengubat' hati. Terpaksa menempuh jalan mujahadah. Untuk mengubat hati perlukan penawar yang juga pahit. Ubat hati jarang yang manis. Namun semua itu perlu di tempuh jua. Apakah ubat Hati??

Menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah 'taman syurga' di dunia ini. Jika kita sering berada di taman syurga di dunia, insyaallah akan memberi harapan yang cerah untuk berada di taman syurga yang hakiki di akhirat kelak.

Ramai ulama berpendapat bahawa sesiapa yang tidak menghadiri mana-mana majlis ilmu sehingga 40hari ( sesetengahnya mengatakan 7hari ) maka hatinya akan keras. Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Imam asy-Syafi'e secara sinis pernah menganjurkan agar orang yang malas, enggan dan punya pelbagai alasan untuk tidak menghadiri majlis ilmu, supaya di takbirkan untuknya empat kali ( Ya,takbir empat kali itu untuk solat jenazah.) Dengan kata lain, orang itu seolah-olah sudah mati. Mati jiwa dan hatinya.

Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil dari Al-Quran.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu adalah iman dan amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah, ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama mendirikan solat kerana solat yang lima ini adalah SILAH (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dengan bacaan itu ke dalam hati.

Walau susah sungguh , tetapi paksalah diri dengan bersungguh-sungguh. Sedangkan bisa boleh jadi biasa bila di lazimi, apatah lagi "penawar" yang datang daripada Allah, tuhan yang mencipta kita. Al-Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila di lazimkan. Solat itu adalah penawar walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti akan datang juga jika kita berterusan mengamalkannya.

Seperti sakit fizikal yang ada pantang larangnya, begitu juga 'sakit hati' juga ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi dengan makan 'racun'. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Penyakit tidak akan sembuh jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat.

Usaha penyembuhan 'sakit hati' ada pantang larangnya. Perlu 'berpantang' daripada perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya melihat,mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Carilah kawan yang seia sekata, bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa, yakni sama-sama ingin mencari Redha Allah..


~Wallahu'alam~
 

Fully Design By IZZA SAKURA | For FADHLIN SAKINA 2013 ©| Best View: Google Chrome